Anda menyangka zaman purba adalah zaman
yang mundur? Jika itu tanggapan anda mengenai zaman silam yang wujud
ratusan, ribuan atau jutaan tahun lalu, fikir kembali. Penemuan saintis
dan ahli arkeologi sejak beberapa tahun kebelakangan ini seolah-olah
menafikan tanggapan umum yang dunia silam adalah dunia mundur, tidak
bertamadun serta belum terdedah kepada teknologi. Malah, saintis kini
semakin kebingungan memikirkan penemuan artifak purba menjurus kepada
kenyataan yang keadaan dunia kuno sebenarnya sudah begitu maju dari segi
sains dan teknologi malah mungkin lebih futuristik daripada zaman
sekarang!
Kenyataan itu memang sukar dipercayai
tambahan pula kita dimaklumkan yang era perkembangan sains dan teknologi
hanya bermula sekitar 200 lalu malah teknologi komputer berasaskan
elektronik saja hanya bermula sekitar 1940. Akan tetapi, artifak purba
serta catatan kuno yang ditemui saintis menceritakan sebaliknya -
masyarakat zaman purba sudah memiliki teknologi hebat serta maju dalam
pelbagai bidang terutama sains.
Bagaimanapun, atas sebab tertentu yang
masih menjadi misteri, zaman purba yang serba canggih dan futuristik
itu akhirnya lenyap sehingga dunia kembali menjadi mundur, tidak
bertamadun dan jauh daripada perkembangan teknologi. Sehinggalah
kira-kira 200 tahun lalu, manusia kembali meneroka rahsia sains dan
dunia sekali lagi melangkah ke arah perkembangan teknologi.
Berikut adalah antara penemuan
teknologi silam yang menunjukkan seolah-olah dunia purba lebih maju atau
menyamai kemajuan teknologi ketika ini: Penemuan bateri dari Baghdad,
Iraq Pada 1930, ahli arkeologi Austria, Dr Wilhem Konig yang
menjalankan kerja mencarigali di daerah Khujut Rabula, dekat Baghdad;
menemui suatu objek aneh tertanam di tapak itu. Objek itu terdiri
daripada silinder tembaga, batang besi serta aspal yang disusun dalam
sebuah bekas tanah liat seperti tempayan kecil setinggi 14 sentimeter
(cm) dan berdiameter 8 cm. Penyelidikan lanjutan mendapati objek
aneh itu ternyata berfungsi seperti bateri malah bateri kuno itu
dianggarkan berusia 2,000 hingga 5,000 tahun lalu!
Penemuan menggemparkan itu secara
tidak langsung mencabar sejarah berikutan bateri dikatakan pertama kali
dicipta pada 1800 oleh Count Alessandro Volta. Penemuan itu juga secara
tidak langsung menunjukkan masyarakat purba yang wujud 5,000 tahun lalu
sudah menemui tenaga elektrik sekali gus ‘menafikan’ Michael Faraday
sebagai individu pertama menemui induksi elektromagnetik dan hukum
elektrolisis pada 1831. Uji kaji mendapati bateri kuno itu mampu
menghasilkan tenaga elektrik antara 1.5 volt hingga dua volt.
Kalkulator kuno.
Pada 1901, penyelam di perairan pulau Antikythera,
Greece menemui artifak berusia lebih 2,000 tahun dari sebuah runtuhan
dasar laut.
Artifak menyerupai jam itu dikaji
penyelidik, Derek J De Solla Price dan didapati ia berfungsi sebagai
‘kalkulator’ yang menghitung pergerakan bintang dan planet.
Pada 1972, sebuah reaktor uranium yang
sudah wujud sejak dua juta tahun lalu ditemui di Oklo di Republik Gabon,
Afrika. Kajian reka bentuk dan struktur lombong purba itu mendapati ia
dapat mengekang radioaktif daripada tersebar malah teknologi reaktor
dan kaedah digunakan pada zaman purba itu jauh lebih canggih daripada
kaedah reaktor nuklear digunakan pada zaman kini. Penemuan itu
menimbulkan persoalan sama ada manusia pada dua juta tahun lalu sudah
menguasai teknologi atom dan menggunakan sumber nuklear sama ada sebagai
sumber tenaga untuk kegunaan harian atau peperangan.
Kanta optik Di lokasi sama dengan
penemuan bateri kuno di Baghdad, Iraq; turut ditemui kanta optik purba
yang dihasilkan kira-kira 2,200 tahun lalu. Kanta purba sebesar
kira-kira dua ibu jari itu dijumpai dengan bahagian kacanya sedikit
retak. Sebelum penemuan menggemparkan itu, kanta dikatakan pertama kali
dihasilkan di Eropah pada abad ke-16. Bagaimanapun penemuan kanta kuno
itu menunjukkan masyarakat purba sudah lama mengetahui kaedah
menghasilkan kanta serta mengaplikasikannya dalam kehidupan.
Jantung
buatan Di dada kiri mumi anak lelaki dalam sebuah piramid Mesir,
penyelidik menemui jantung buatan. Sejarah ilmu perubatan pada masa kini
memperlihatkan jantung buatan baru ditemukan beberapa puluh tahun lalu
tetapi penemuan itu memungkinkan jantung buatan sudah dihasil dan
dipasang pada 5,000 tahun lalu. Robot Pada zaman pemerintahan Kaisar
Mu (976 hingga 922 SM) di China, pencipta berbakat, Ma Daifeng
menghasilkan aplikasi robotik yang dibina tetapi berasaskan mekanisme
mekanikal. Robot yang dibina dapat bernyanyi dan menari seperti manusia,
membawa peralatan kepada tuannya selain mempunyai organ tubuh seperti
tulang, otot, sendi, kulit dan rambut. Turut dicipta Ma Daifeng pada
zaman berkenaan adalah alat merekod jarak perjalanan selain aplikasi
untuk industri kilang yang mampu bekerja tanpa kawalan manusia.
Kenderaan Ukiran purba ditemui di
sebuah kuil Kerajaan Mesir Purba di Abydos, Mesir menunjukkan gambar
kenderaan yang wujud pada zaman ini walaupun ukiran itu dianggarkan
dihasilkan lebih 3,000 tahun lalu. Gambar berkenaan yang jelas
kelihatan adalah helikopter, kapal selam, bot dan pesawat. Pada 1898, di
sebuah makam kuno berusia kira-kira 2,200 tahun di Saqquara, Mesir,
replika pesawat yang formatnya mirip dengan pesawat terbang moden
ditemui.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar